PENDIDIKAN JASMANI

Pendidikan Jasmani adalah merupakan satu proses pembelajaran yang menyeluruh yang merangkumi semua aspek domain seperti psikomotor, kognitif, afektif, sosial dan emosi. Melalui Pendidikan Jasmani, pelajar akan diberi ruang untuk mencuba dan mengalami sendiri pengalaman semua aktiviti fizikal yang dijalaninya (Pettifor, dalam Wee Eng Hoe, 2005).

Pendidikan Jasmani berupaya menyediakan kanak-kanak untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif melalui penyediaan skop pengalaman pembelajaran yang berturutan serta rapi. Secara ringkasnya, Pendidikan Jasmani adalah merupakan satu bentuk pembelajaran yang holistik serta berupaya membangunkan pelajar dari pelbagai aspek dan dapat menghasilkan kejayaan kepada satu kumpulan pelajar dari pelbagai aspek dan dapat menghasilkan kejayaan kepada satu kumpulan pelajar (Colfer, 1986). 

Pendekatan dalam Pendidikan Jasmani masa kini tertumpu antaranya kepada nilai perkembangan kemahiran dan kecergasan jasmani serta menjadi pemangkin terhadap tabiat sosial yang murni. Pendidikan Jasmani juga berperanan membangun serta membina aspek kognitif murid melalui aktiviti-aktiviti penerokaan, penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir. Di sini kita dapat lihat dengan jelas bahawa subjek ini merupakan satu keperluan bagi membina perkembangan keseluruhan kanak-kanak dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek mahupun sosial.

Kerelevanan Pendidikan Jasmani untuk diajar di sekolah juga disebabkan subjek ini memiliki kesepaduan di antara domain psikomotor dan domain kognitif. Kesepaduan ini adalah seiring dengan penerapan nilai murni yang bermatlamat menghasilkan insan yang menyeluruh dan seimbang dalam satu masyarakat yang dinamik dan progresif (Asiah Abu Samah, 1993).


SUMBER : http://saiful-azhar.blogspot.com/2011/12/memahami-konsep-dan-definisi-pendidikan.html